PERISTIWA DISEBALIK BULAN SYAABAN


Pertukaran arah kiblat
Antara peristiwa penting yang berlaku pada pada bulan Syaaban ialah peristiwa pertukaran kiblat dari Baitul Maqdis ke kaabah. Ia adalah saat yang amat diharapkan berlaku dan sememangnya telah lama ditunggu-tunggu oleh Rasulullah SAW.
Sebelum berlaku peristiwa ini, Baginda SAW bangun pada setiap malam menghadapkan mukanya ke langit menunggu-nunggu wahyu daripada Allah. Sehinggalah Allah mengurniakan dan merealisasikan permintaannya seperti dirakamkan di dalam al-Quran:


" Kerap kali Kami melihat engkau (wahai Muhammad), berulang-ulang menadah ke langit, maka Kami benarkan engkau berpaling mengadap kiblat yang engkau sukai. Oleh itu, palingkanlah mukamu ke arah Masjid al Haram (tempat letaknya kaabah); dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya. (al-Baqarah: 144).


Abu Hatim al-Busti berkata: Orang-orang Islam solat mengadap ke Bait al Maqdis selama 17 bulan 3 hari. Rasulullah datang ke Madinah pada hari Isnin 12 Rabiulawal dan Allah memerintahkan mengadap ke Kaabah pada hari Selasa 15 Syaaban.

Diangkat amalan
Di antara keistimewaan Syaaban yang masyhur ialah diangkat amalan hamba-hamba-Nya pada bulan ini. Ini merupakan pengangkatan amalan yang terbesar.
Oleh kerana itu, ketika Usamah ibn Zaid r.a bertanya kepada Rasulullah SAW tentang sebab kesungguhan Baginda SAW berpuasa pada bulan Syaaban, Baginda SAW menjawab:


"Ia adalah bulan yang sering dialpakan oleh manusia, di antara Rejab dan Ramadan. Ia adalah bulan diangkat segala amalan kepada Tuhan semesta alam. Saya suka amalan saya diangkat ketika saya berpuasa". (riwayat al-Munziri)


Ditentukan umur
Pada bulan Syaaban juga ditentukan segala umur, iaitu dizahirkan takdir tersebut. Namun perbuatan Allah itu tidak terikat dengan masa atau pun tempat. Rasulullah SAW bersabda:

"Sesungguhnya Allah mencatat pada bulan Syaaban bagi setiap jiwa yang akan mati pada tahun tersebut. Maka aku suka ajalku datang kepadaku ketika aku sedang berpuasa". (riwayat Abu Ya'la).


Oleh yang demikian, Rasulullah SAW paling banyak berpuasa pada bulan Syabaan kerana itu, Syaaban adalah bulan berselawat ke atas Nabi SAW. Terlalu banyak kelebihan berselawat ke atas Nabi SAW dan ia adalah ibadat yang paling afdal dari ibadat-ibadat yang lain. Kita sendiri dapat memikirkannya kerana amalan lain Allah memerintahkan hamba-hamba-Nya melakukannya tetapi amalan selawat Allah berselawat ke atas Baginda SAW terlebih dahulu, kemudian barulah Allah menyuruh hamba-hamba-Nya berselawat ke atas Baginda SAW.

Syaaban bulan al-Quran
Syaaban juga disebut sebagai bulan al-Quran. Kita sedia maklum, membaca al-Quran dituntut pada setiap masa tetapi ia lebih dituntut pada masa-masa yang berkat dan mulia seperti bulan Ramadan, Syaaban dan bulan-bulan mulia yang lain. Oleh kerana itu, Anas meriwayatkan dengan sanad yang daif bahawa apabila masuk bulan Syaaban, kaum Muslimin menumpukan kepada mushaf-mushaf mereka dan membacanya, mengeluarkan zakat harta mereka untuk memberi kekuatan kepada orang yang lemah dan miskin menjalani ibadah puasa pada bulan Ramadan.Selain itu juga, kita digalakkan merebut peluang kedatangan Syaaban dengan membanyakkan menyebut kalimah syahadah: Laa ilaha Illa Allah Muhammad Rasulullah dan istighfar.Ini adalah pintu memasuki Islam dan tangga memelihara iman dan mikraj hati serta roh kepada Tuhan Pemilik seluruh alam. Ia juga adalah sebesar-besar kebaikan bagi memperbaharui keimanan dan menghapuskan kejahatan sehingga menarik pemiliknya memasuki syurga. Istighfar dapat menghapuskan dosa-dosa, kesulitan dan meringankan bebanan.


Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang melazimi istighfar, Allah menjadikan baginya dari setiap kemurungan pelepasan, dari setiap kesempitan jalan keluar dan dikurniakan rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangka". (riwayat Abu Daud, al-Nasaei, Ibnu Majah dan al-Hakim).


Demikianlah istimewanya Syaaban. Semoga kita dapat merasai kebesaran Syaaban dan melihat kurniaan Allah padanya dengan penuh insaf, beradab dan kesyukuran.

Orang yang bijak ialah orang yang menggunakan sebaiknya kesempatan yang diberikan dan orang yang bodoh ialah orang yang menangguhkan kesempatan yang diberikan kerana menyangka esok masih ada untuknya.


SUMBER:UTUSAN MALAYSIA



0 Responses